Sunday 27 March 2011

Monolog Seekor Lalat

Prolog.
Tiba-tiba seekor lalat terbang dan masuk ke dalam buih Nescafe tarik aku.
Menggelupur buat seketika sebelum terus senyap. Tak bergerak. Mungkin
sudah berakhirnya kehidupan seekor lalat.'Kakkk...masuk lalat lah, tolong buat yang lain ya...' kata aku

'Maaflah dik, kakak buat yang lain ya.' Kata kakak itu.
...dan aku meneruskan kehidupan seperti biasa.



Nama aku Mat. Nama betul aku tak payahlah korang tahu, cukuplah kalian
mengenali aku sebagai Mat sahaja sepertimana kebanyakan rakyat Malaysia
ini. Biasalah kan, korang pun selalu dengar 'mamat tu kurang ajar
betul..tiba-tibanya masuk ke depan kereta aku, dah lah tak bagi
signal...' atau 'hari tu tayar kereta aku pancit tepi highway, nasib
baik
ada Mamat sorang tu berhenti tolong, kalau tidak tak tahulah
aku...' atau ' Ngko ingat
aku tak kenal mamat tu hah? Kalau aku nampak ngko dengan dia lagi, aku
bagi
kat situ jugak..'. Nama Mamat dah menjadi sinonim dengan kehidupan kalian
sehari-hari.


Aku ? Aku adalah seekor lalat dari spesis Musca Domestica atau Lalat Rumah
dari keluarga Diptera iaitu serangga yang mempunyai dua sayap. Aku adalah
antara 1.5 juta spesis lalat yang berterbangan di seluruh dunia. Aku berusia
8 hari dan pada usia sebegini aku sudah menjadi dewasa. Aku sudah
menghabiskan sekolah rendah dalam masa 2 hari, sekolah menengah dalam masa 2
hari dan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam masa 3 hari. Kelmarin
aku baru dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Makanan dan Sampah Sarap.
Tak ada konvokesyen macam Mat Jan, cuma ambil ijazah di tepi tong sampah
sahaja.
Malam tadi, semasa aku berterbangan mencari sesedut makanan, aku
singgah
sebentar di lorong belakang sebuah bangunan. Aku nampak seorang
perempuan yang cantik. Bergaya dan seksi sekali. Aku singgah sebentar
di
atas bahunya

sebab aku nak survey kalau ada sisa-sisa makanan yang ada sekitar kawasan
itu. Malangnya aku dihalau dengan libasan tangannya sambil mulutnya memaki
hamun aku. 'Celaka punya Lalat..!' kata dia. Aku dihina sebegitu rupa
seolah-olah aku adalah seekor binatang. Aku bukan binatang, aku adalah
serangga. Walau aku dituduh sebagai pembawa penyakit dan virus yang
merbahaya bersama-sama Sang Nyamuk, sekurang-kurangnya aku lebih baik dari
dia. Seberapa ketika kemudian aku melihat dia dipimpin oleh seorang lelaki
masuk ke dalam bilik belakang bangunan. Sekotor-kotor aku, engkau lebih
kotor, lebih celaka !.
Aku meninggalkan kawasan kotor itu dengan maki hamun di dalam hati. Aku
terbang lagi dan aku mengembara di atas bumi Tuhan ini. Aku sekadar
ingin
mencari rezeki dari rezeki yang kamu buang dan kamu humban di dalam
tong
sampah. Hinakah aku?. Rezeki yang Tuhan bagi kepada kamu, kamu bazirkan
dan
kamu berikan pada aku.Siapa yang lebih hina? Aku tak pernah sia-siakan
sisa-sisa rezeki kamu. Kalau banyak, aku panggil kawan-kawan aku. Kami
berkenduri di situ. Sekurang-kurangnya aku menyapu-nyapu tanganku sebelum
menjamah makananmu tidak seperti kebanyakan kalian yang langsung tidak
membasuh tangan.
Apabila hari dah pagi, aku terbang melata lagi. Itulah kerja aku dan
itulah
kehidupan aku. Aku singgah sebentar di satu tong sampah belakang sebuah
rumah.Deria rasaku pada kaki-kakiku memberitahu sesuatu. Ada banyak makanan.
Ada yang masih elok untuk di makan oleh kalian. Sudah rezeki aku.
Sambil makan, aku melihat pada sehelai surat khabar. Aku membacanya
sebaris
dua dengan mata yang kabur sebab aku mempunyai mata kumpuan yang mampu
menyedarkan aku pada setiap kilas pergerakan.(aku pandai membaca ketika
usia aku satu hari di sekolah rendah jenis kebangsaan lalat). Isi
beritanya
memualkan aku. Berita dari prosiding Mahkamah, berita rogol, bunuh,
culik,
rasuah dan sebagainya. Selera makan aku terpadam. Dalam
masyarakat aku tak ada berita-berita itu semua. Apa yang biasa aku
dengar
dalam masyarakat aku

hanya berita kematian lalat yang ditampar dengan sadisnya oleh manusia,
kematian lalat yang disembur dengan Ridsect atau Sheltox,kematian lalat
akibat sakit tua atau kematian lalat akibat terkena renjatan elektrik
pada
perangkap ultra violet. Berita-berita yang memualkan itu
menyebabkan aku segera meninggalkan tempat
itu. Aku sudah tiada selera untuk makan. Kalian memang memualkan aku.
Sehina-hina masyarakat aku, masyarakat kalian lebih hina sebenarnya.
Sambil terbang, aku terfikir. Kenapa aku dituduh dengan bermacam-macam
tomahan? Aku tidak pernah berak atas badan kalian tapi kenapa titik-titik
hitam ciptaan Tuhan itu dikatakan sebagai tahi aku?.
Ironinya, bila tahi aku berada di penjuru bibir kalian, itu dikatakan
manis? Kenapa bila kalian
pening-pening dikatakan sebagai pening-pening aku? Kenapa aku dijadikan
perumpamaan seperti lalat langau mengerumuni bangkai? Sedangkan tahi aku dan
kitaran hidup aku pada bangkai itu menjadi maklumat penting kepada
Pathologist untuk menganggarkan usia kematian kalian. Kenapa ada juga
perumpamaan 'lalat terbang dipipiskan lada' ?. Eh, itu burung, ngko jangan
nak tipu aku. Aku Bahasa Malaysia dapat 'A' tau.
Begitulah buruk dan hodohnya aku pada mata kalian.
Kadang-kadang aku pun ingin menjadi seperti burung. Terbang tinggi
menyapu
awan tapi aku tetap bersyukur dengan anugerah Tuhan. Dengan sayap-sayap
ini
aku belajar erti kehidupan kalian. Walau aku cuma mampu hidup selama 40
hari dan sekiranya aku melangkaui 40 hari kemungkinan aku mampu hidup
sehingga ke 100 hari. Itu hakikat kehidupan aku yang mungkin kalian
tidak
tahu. Aku hanya mampu berdoa agar aku mampu hidup sehingga 100 hari dan
aku
cuba menghindari kawasan-kawasan berisiko tinggi. Tidak seperti kalian
yang
mencari mati di atas jalan-jalan raya dengan motosikal-motosikal dan
kereta-kereta turbo bagaikan pelesit. Peliknya, aku masih dipandang hina dan
bodoh.
Matahari semakin tinggi dan cuaca menjadi semakin panas. Aku perlu
mencari
tempat yang nyaman untuk aku tenangkan fikiran. Bukan tempat yang
terlalu
sejuk dan membeku kerana di tempat sebegitu, aku mampu pengsan selama
berpuluh-puluh hari dan aku hanya akan sedar sekiranya aku dipanaskan
balik
dengan sedikit haba. Aku terjumpa sebuah tempat yang berhawa dingin,
sebuah
pejabat yang cantik. Aku masuk dengan menumpang seseorang yang membuka
pintu. Aku terbang dengan ceria sebab tubuhku menjadi sedikit dingin
terkena hembusan pendingin hawa. Aku terpandang sebuah komputer yang
terbuka dan seseorang sedang mangadapnya dengan penuh konsentrasi. Aku
singgah sebentar di atas kerusinya. Dia tidak menyedarinya. Terlalu
asyik
dia. Aku cuba membaca apa yang terpapar pada skrin komputer. 'Ah !,
sebuah
Blog dengan nama Life Is A Fairytale...terdapat sebuah catatan tentang
seekor lalat, apa ke jadahnya dia membaca cerita pasal lalat? Tak ada
kerja ke dia
? Boss dia tahu atau tidak yang dia sedang berpura-pura berkerja? Apa dia
tak sedar yang majikannya membayar gaji dia untuk membuat kerja dan bukannya
membaca sebuah cerita tentang entah apa-apa..' bisik hati kecil aku.
Manusia, manusia...
Lalu aku terbang meninggalkan dia yang masih lagi membaca catatan tentang
seekor lalat. Mungkin dia ingin tahu tentang ending cerita lalat.
Menarik sangat kah cerita seekor lalat?. Entahlah....
...dan aku masih dianggap kotor, jijik dan hodoh.


Epilog.
Lalat itu meninggal di dalam buih-buih air Nescafe tarik aku pada usia 10
hari. Dia tidak sempat menatap terbitnya fajar ke 100 harinya. Mungkin itu
sudah ketentuannya. Kalau dia hidup sehingga 100 hari mungkin dia sudah
menjadi presiden lalat-lalat dan dengan daya fikirnya yang tinggi, dia
mungkin mampu mengumpulkan lalat-lalat seluruh dunia dan menyerang manusia.
He he he. Jangan marah lalat.
(kajian menunjukkan bahawa 80 peratus manusia yang membaca cerita ini akan
memandang ke belakang kerusinya dan mencari kot-kot ada lalat....)

No comments:

Post a Comment