|
Wajah suspek yang dirakamkan oleh Maisarah menerusi telefon bimbitnya. Polis kini sedang memburu lelaki berkenaan untuk dirakamkan
keterangannya |
KUALA LUMPUR: Seorang gadis melalui detik hitam dalam
hidupnya apabila menjadi mangsa cabul seorang lelaki yang pada awalnya
menawarkan bantuan untuk menukar tayar keretanya yang pancit ketika
melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR), pada Selasa.
Ketika kejadian, Maisarah (bukan nama sebenar), 20, sedang dalam
perjalanan dari rumahnya di Rawang menuju Glenmarie, Shah Alam untuk
memulakan kerja di hari pertamanya.
Bagaimanapun, tayar keretanya pancit dan memaksanya memberhentikan kenderaan di bahu jalan, kira-kira pukul 7 pagi.
Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki yang berusia lingkungan
30-an memberhentikan motosikalnya menawarkan bantuan menukar tayar
kereta Maisarah.
Melihat air mukanya yang ikhlas mahu membantu, Maisarah tanpa ragu-ragu menerima pelawaan lelaki berkenaan.
Namun begitu, kata Maisarah, keikhlasan itu tidak lama apabila lelaki itu mula menunjukkan belang.
“Ketika berusaha menukar tayar, terdapat satu skru yang sukar dibuka.
Lelaki itu menyuruh saya menghubungi pasukan peronda dan ketika menunggu
bantuan, dia minta tumpang duduk dalam kereta kerana cuaca panas di
luar.
"Saya benarkan (dia duduk dalam kereta) dan saya mahu
berdiri di luar, namun tiba-tiba lelaki itu tarik tangan saya masuk
dalam kereta dan kunci pintu,” kata Maisarah berkongsi detik-detik
cemas yang dilaluinya kepada
Astro AWANI ketika dihubungi.
Menurut Maisara, sekalipun cemas dan ketakutan, namun dia tidak
menunjukkannya kerana bimbang lelaki berkenaan akan bertindak lebih
ganas.
“Saya pura-pura ‘
cool’ dan sibuk dengan telefon
tetapi tangan lelaki itu merayap di paha, saya tepis, namun tidak dapat
melawan. Syukur tidak lama kemudian pasukan peronda tiba,” katanya.
Maisarah juga cuba untuk memaklumkan kepada petugas peronda lebuhraya
mengenai kejadian berkenaan, namun lelaki itu menghalangnya beberapa
kali.
Ketakutan Maisarah juga tidak terhenti di situ apabila
lelaki berkenaan enggan beredar walaupun selepas petugas peronda selesai
menukar tayar keretanya.
“Saya segera masuk dalam kereta tetapi
lelaki itu masuk sekali, dia bertindak lebih ganas dengan menarik
lengan saya dan cuba mencium saya malah membuka butang baju kemeja saya
di bahagian atas.
"Ketika itu dalam keadaan yang meronta-ronta saya menjerit sekuat hati menyuruh dia keluar.
“Apabila saya jerit begitu, lelaki itu terus berhenti tetapi minta
dicium jika mahu dia keluar, saya bertambah marah dan sekali lagi
menjerit ke arahnya sebelum dia keluar,” cerita Maisarah lagi.
Sebelum beredar, Maisarah sempat menjerit kepada lelaki itu mempersoalkan keikhlasannya untuk menolong menukar tayar kereta.
“Saya jerit cakap ingatkan ikhlas nak tolong tukar tayar kalau ikhlas
kenapa nak kena raba-raba?! Lelaki itu membalas ‘iyalah, sayakan
lelaki’,” katanya. lagi
Maisarah kemudian bergegas ke balai polis Sungai Buloh untuk membuat laporan mengenai kejadian yang dialaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan
Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian
tersebut.
“Polis sedang memburu suspek dan orang ramai yang
mempunyai maklumat, diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya
ketika dihubungi.
Sumber : Astro Awani